JOHOR BAHRU: Seorang guru lelaki didakwa atas kesalahan perkosa anak muridnya yang berusia 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Masai, Pasir Gudang di sini, tahun lalu.
Menerusi hantaran di akaun Facebook bernama ‘Mohd. Fadli Salleh’, perkara tersebut sudah dilaporkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, dan kepada pihak Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Menurut Mohd. Fadli, perkara tersebut terbongkar apabila murid perempuan berkenaan kelihatan seperti ketagih untuk melakukan hubungan seks apabila didapati meraba-raba murid lain.
“Hal itu sampai kepada guru disiplin, dipanjangkan kepada guru kaunseling dan pentadbir. Selepas disiasat, murid itu mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang guru lelaki di situ,” tulis Mohd. Fadli dalam Facebook miliknya.
Tambahnya, guru besar sekolah terbabit telah memanggil ibu bapa murid berkenaan dan menjelaskan hal yang berlaku selain menyarankan mereka membuat laporan polis.
“Guru besar berkenaan juga telah pergi ke balai untuk membuat laporan polis pada 29 September lalu tentang masalah disiplin guru terbabit yang berusia 28 tahun.
“Manakala pada 24 November lalu, guru besar berkenaan sekali lagi membuat laporan polis tentang kejadian hubungan seks guru dan murid ini dan meminta PPD Pasir Gudang ambil tindakan.
“Pada hari sama, ibu murid tersebut turut membuat laporan polis. Namun meminta polis tidak ambil tindakan kerana cikgu itu sudah berjanji akan bertanggungjawab sebaik anak perempuannya mencapai usia 18 tahun,” katanya.
Mohd. Fadli berkata, sebelum ini guru itu dikenakan tindakan daripada PPD selama tiga bulan sahaja sebelum kembali dibenarkan mengajar semula di sekolah berkenaan.
“Ada ibu bapa yang tahu mengenai kes ini sangat terkejut. Mereka ada anak perempuan dan anak perempuan mereka diajar oleh guru yang ada kes perkosa ini.
“Sekiranya guru ini masih mengajar di sekolah tersebut, atau mana-mana sekolah di Malaysia, saya akan dedahkan terus nama guru, nama murid, nama sekolah, dan nama pegawai PPD yang bertanggungjawab atas kes ini,” katanya. – UTUSAN










