Empat kali ‘rayu’ dana album Aura Cintaku

Empat kali ‘rayu’ dana album Aura Cintaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain gitar dan pengasas kumpulan Bahtera, Adie atau Mohamad Saidi Zainal Azim, 37, bersyukur apabila impiannya untuk menerbitkan album Aura Cintaku terlaksana selepas berjuang tiga tahun mendapatkan sokongan dana.

Album berjudul Aura Cintaku yang mula melalui fasa perancangan dan pembikinan sejak tahun 2022 itu hanya dapat direalisasikan selepas permohonannya untuk mendapatkan Dana Kandungan Kreatif di bawah MyCreative Ventures diluluskan pada cubaan keempat tahun ini.

“Buat pengetahuan semua, dana untuk menghasilkan album ini saya peroleh selepas empat kali membuat permohonan. Sejak 2022, saya tidak pernah berhenti memohon dana dan tetap menggerakkan proses menghasilkan album.

“Setiap tahun saya akan kembali untuk membuat permohonan sampaikan panel sudah kenal ‘awak lagi, awak lagi’. Memang kami tidak pernah berhenti berusaha.

“Kami pula bersaing dengan 300 syarikat lain yang juga membuat permohonan ketika itu. Saya buat yang terbaik semasa sesi ‘pitching’ di hadapan lima panel.

“Setiap kali ditolak, saya akan minta nasihat dan bertanya bahagian mana perlu diperbaiki. Mereka berkata ada bahagian yang tidak seimbang dalam kertas kerja. Saya perbaiki semula dan akhirnya diterima pada permohonan keempat pada 2025,” katanya.

Adie ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan pelancaran album Aura Cintaku di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, jelas Adie cabaran paling besar bermula selepas itu apabila mereka perlu membahagikan dana sebanyak RM32,000 untuk menghasilkan lima buah lagu.

Jelas Adie, jumlah tersebut adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan kos standard industri muzik masa kini terutamanya jika mahu bekerjasama dengan pemuzik ternama tempatan.

“Cabaran paling besar adalah bagaimana hendak mengagihkan dana ini. Dalam industri, kos untuk satu lagu boleh mencecah RM12,000 hingga RM15,000. Kami pula perlu menghasilkan lima lagu dengan bajet yang terhad ini.

“Dana ini bukan untuk kami seorang. Ia perlu ‘dipecah-pecahkan’ untuk memberi manfaat kepada seluruh ekosistem. Ini termasuk bayaran kepada komposer, penulis lirik, jurutera rakaman, jurutera adunan (mixing) dan ramai lagi penggiat seni di belakang tabir.

“Sebab itu ada komposer yang kami hubungi mahu buat semua kerja termasuk mixing, tulis lagu tapi kos cecah RM12,000 untuk satu lagu. Jadi kita terpaksa tolak sebab pertama, bajet. Kedua, kami mahu pecahkan dana ini agar semua dapat merasa. Tidak boleh seorang dapat RM30,000,” katanya.

Walaupun berdepan bajet yang terhad, Adie dan anggota Bahtera yang lain Reyza Fenge (vokalis), Kechik (pemain bass) dan Amy (pemain dram) enggan berkompromi soal kualiti terutama dalam proses rakaman instrumen.

“Ada bahagian solo gitar yang saya rakam sehingga 100 kali. Jika tidak kena, kami akan buang dan buat semula. Rakaman itu sahaja saya buat sehingga tiga hingga empat bulan.

“Begitu juga dram, kita rakam bersungguh-sungguh hingga libatkan 14 buah mic. Kita mahu bunyi dan album ini setanding dengan produksi antarabangsa, walaupun dengan sumber yang terhad,” ujarnya yang turut menekankan proses pasca rakaman juga melalui saringan kualiti yang ketat.

Album Aura Cintaku menampilkan 10 buah lagu merangkumi tujuh lagu ciptaan kumpulan Bahtera sendiri sementara tiga yang lain dihasilkan daripada komposer seperti Omar K, Zimi Sofarz dan Iskandar Bujang.

Dua video muzik juga turut dihasilkan untuk lagu Bunuhan Cinta dan Rentan yang diarahkan oleh Opie Zami serta diterbitkan oleh Nonamefilmfactory. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN