Elak tindakan boleh cetus provokasi kaum

Elak tindakan boleh cetus provokasi kaum

TUN Mohd. Ali Mohd. Rustam mengurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) kepada Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat Malaysia khususnya di Melaka diingatkan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini bukan jaminan akan kekal, sebaliknya perlu dipelihara dengan usaha berterusan.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, keunikan masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan keturunan menjadi aset terbesar yang telah menjadi nadi kemajuan dan kemakmuran negara.

“Saya amat berharap agar seluruh rakyat Melaka terus berganding bahu menjaga keharmonian antara kaum agar negeri ini kekal aman, damai dan terus melangkah maju.

“Kita haruslah mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi perkauman walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara dan janganlah kebebasan itu disalahguna hingga meretakkan tali persaudaraan dan merosakkan semangat muhibah sesama kita.

“Saya menyeru agar rakyat Melaka terus berdiri teguh di belakang kerajaan demi perpaduan, kestabilan dan kepentingan bersama serta bersatu menjadikan Melaka sebuah negeri contoh dalam mewujudkan keharmonian dan perpaduan,” katanya.

Tun Mohd. Ali berkata demikian dalam sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 dan penyampaian Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri Ayer Keroh, di sini semalam.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengetuai senarai 331 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka.

Tun Mohd. Ali mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan kepercayaan memilih Melaka menjadi tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bukan sahaja membuktikan pengiktirafan terhadap keunikan dan keistimewaan negeri ini malah membuka peluang kepada sektor pelancongan ekonomi dan komuniti berkembang maju.

“Saya berharap semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kejayaan baharu, memperkukuh agenda pembangunan negeri serta melahirkan lebih ramai pemimpin dan generasi pelapis berintegriti,” katanya.

Tun Mohd. Ali berkata, ekonomi negeri berkembang pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2024 dan menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat rekod sebanyak RM48.9 bilion berbanding RM46.9 bilion pada tahun sebelumnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN