KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melaksanakan penjenamaan semula termasuk pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan kewujudan mekanisme pemantauan kemajuan kes bagi melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.
Menurut kenyataan EAIC, langkah itu selaras dengan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] serta kesinambungan usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak tahun lalu.
Selain itu, memperkenalkan logo baharu sebagai simbol pembaharuan dan pengukuhan peranan sebagai badan pemantau bebas.
“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam seperti pembuangan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) secara haram, penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan serta kajian pencegahan kematian dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan.
Penjenamaan semula itu turut disokong dengan pemantapan SOP siasatan dan kewujudan mekanisme lampu isyarat bagi memantau kemajuan kes, sekali gus melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.
EAIC juga melaksanakan kajian keberkesanan operasi agensi penguatkuasaan seliaan serta menyertai operasi dan konsultasi lapangan bersama pihak berkepentingan bagi memahami isu di peringkat akar umbi sebelum merangka syor penambahbaikan berimpak tinggi.
“Selaras dengan Seksyen 30(5) Akta 700, EAIC konsisten mengumumkan laporan hasil siasatan kepada umum bagi mencerminkan komitmen keterbukaan suruhanjaya dan prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
Sebagai kemuncak usaha tersebut, EAIC dilantik sebagai Ketua Peneraju Fokus Kumpulan Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap kredibiliti suruhanjaya dalam memacu agenda integriti nasional selaras sasaran CPI 2033.
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, penjenamaan semula berkenaan bukan sekadar perubahan visual, sebaliknya langkah strategik memperkukuh fungsi pengawasan suruhanjaya secara lebih berfokus dan responsif.
“Penjenamaan ini diharap menyampaikan matlamat EAIC dengan lebih jelas untuk terus menjadi peneraju reformasi integriti institusi penguatkuasaan melalui penambahbaikan proses, peningkatan ketelusan dan pembinaan kepercayaan masyarakat secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










