ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didakwa memberi kesan langsung kepada rakyat.
Usul yang dicadangkan wakil rakyat kerajaan, Ahmad Sulaiman (PN-Belantek) itu dipersetujui majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang.
Ahmad berkata, terdapat tiga tuntutan utama melalui usul berkenaan iaitu mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan kajian semula terhadap langkah peluasan cukai SST yang benar-benar membebankan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
“Kedua, usul ini juga mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memperketatkan kawalan pencatutan harga dan pemantauan yang berkesan terhadap rantaian kesan dan impak daripada pelaksanaan SST.
“Ketiga, menyediakan langkah penyaluran subsidi bersasar dan bantuan kewangan khas yang efektif kepada golongan terjejas secara langsung mahupun tidak langsung akibat pelaksanaan SST termasuklah dalam kategori peniaga kecil, petani mahupun nelayan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di sini.
Perbahasan usul tersebut melibatkan lima ADUN kerajaan iaitu Dr. Muhammad Suffian Yusoff (Bandar Baharu); Khairul Anuar Ramli (Lunas); Shahir Long (Pantai Merdeka); Abdul Ghafar Saad (Guar Chempedak) dan Ahmad sendiri.
Manakala ketiga-tiga ADUN pembangkang iaitu Bau Wong Bau Ek (Sidam); Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang) turut mengambil bahagian ketika perbahasan dikendalikan Timbalan Speaker, Abdul Razak Khamis.
Sementara itu, Ahmad berkata, usul itu penting sebagai isyarat utama kepada Kerajaan Persekutuan bahawa persidangan DUN Kedah juga mengambil berat situasi yang sedang melanda rakyat dan negara.
Ujarnya, pelaksanaan sebarang bentuk sistem pencukaian termasuk melibatkan penstrukturan fiskal yang tidak teratur boleh memberikan kesan langsung kepada rakyat.
“Usul ini tidak bermaksud kita mahu melanggar sempadan kuasa Persekutuan bahkan perkara ini telah termaktub secara jelas dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Usul ini juga tidak bermaksud mahu mengubah Dewan Undangan menjadi Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara,” katanya.
Muhammad Suffian pula berkata, jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar akan bertambah lebar sekiranya apa yang dilaksanakan dalam SST kini berlanjutan selain kuasa membeli dalam kalangan penduduk luar bandar juga akan menurun kerana cukai yang membebankan.
Sementara itu, Swee Leong membangkitkan persoalan mengapa Perikatan Nasional (PN) sekali lagi membentangkan usul itu sedangkan ia telah dilakukan oleh Ahli Parlimen mereka di Dewan Rakyat, sebelum ini.
“Kita sedang membahaskan satu perkara di luar jangkauan kuasa kita. Isu percukaian Persekutuan termasuk SST adalah perkara di bawah Senarai Persekutuan. Ini termaktub dengan jelas dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan dalam Jadual Kesembilan.
“Ini bermakna, forum yang sah dan berperlembagaan untuk menggubal atau mengkaji semula dasar SST adalah di Dewan Rakyat. Adakah ini satu cubaan untuk bermain politik kepartian dan mengelirukan rakyat Kedah? Dewan yang mulia ini sepatutnya menumpukan masa kepada isu-isu Kedah, bukan mengulang tayang perbahasan Parlimen,” katanya. – UTUSAN










