Dua rakan tak mengaku rompak warga China RM2.1j

Dua rakan tak mengaku rompak warga China RM2.1j

TERTUDUH, Mohd. Syaqir Mohd. Ami dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor ketika dibawa untuk menghadapi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang wanita warga China menyebabkan kerugian RM2.1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan pelbagai barangan termasuk wang tunai dan jongkong emas berjumlah RM2.1 juta milik seorang surirumah warga China di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Syaqir Mohd. Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 3; kedua-duanya bekerja sebagai jurujual didakwa bersama-sama dua orang yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Chen Kexue, 31.

Kedua-dua tertuduh telah merompak antaranya seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai berjumlah RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian berjumlah RM2,146,000 pada pukul 10.10 malam, 21 Julai lalu di sebuah vila di Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan membabitkan jumlah kerugian yang besar.

“Sekiranya mahkamah memberikan jaminan, terdapat risiko untuk tertuduh melarikan diri kerana semasa tangkapan dibuat, salah seorang daripada tertuduh cuba meloloskan diri.

“Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon setiap tertuduh dikenakan jaminan RM60,000 ke atas beserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Peguam bela, Hazwan Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak-anak guamnya diikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 berserta syarat tambahan tertentu memandangkan  jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Mohd Syaqir bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan. Dia menanggung ibunya yang menghidap penyakit kanser tahap empat. Tertuduh juga baru baik dari lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan pada Ogos tahun lepas.

“Sementara Nur Mohamed Mahsar yang juga bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil,” kata peguam itu yang turut memaklumkan tiada risiko untuk kedua-dua tertuduh melarikan diri.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 September ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN