Dua politeknik diarah semak semula kursus ditawarkan agar relevan

Dua politeknik diarah semak semula kursus ditawarkan agar relevan

ZAMBRY Abdul Kadir (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita semasa hadir merasmikan 32nd IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA 2025) di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua politeknik di utara tanah air akan menyemak semula kursus ditawarkan bagi memastikan ia seiring dengan keperluan industri semikonduktor yang sedang pesat berkembang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, arahan telah diberikan kepada politeknik di Balik Pulau dan satu lagi di Kulim supaya meneliti semula modul pengajian yang ditawarkan dan merangka semula program lebih relevan dengan industri semasa.

Katanya, langkah itu penting bagi melahirkan tenaga kerja teknikal yang kompeten sekali gus menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor yang semakin berkembang di wilayah utara.

“Kita tidak mahu perubahan dalam pendidikan tinggi ini hanya tertumpu kepada universiti semata-mata.

“Politeknik juga perlu bersedia dan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan industri terutama dalam bidang teknikal seperti semikonduktor,” katanya selepas merasmikan 32nd IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA 2025) di sini hari ini.

Menurut Zambry, pendekatan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini lebih bersifat menyeluruh, termasuk melibatkan universiti, politeknik dan institusi komuniti demi memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuktikan pencapaian membanggakan dalam bidang semikonduktor apabila berjaya mencapai tahap pembangunan cip mereka sendiri.

“Kita berharap hasil pembangunan cip ini nanti akan membolehkan mereka memiliki harta intelek (IP) sendiri sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai antara negara pengeluar cip, bukan sekadar terlibat dalam proses belakang (back end) semata-mata,” ujarnya.

Tambah beliau, pelbagai kerjasama strategik juga sedang dijalankan termasuk dengan syarikat utama dunia bagi mempercepat kemajuan sektor ini.

“USM berada di tengah-tengah hab semikonduktor negara, kita anggap sebagai universiti peneraju dalam bidang ini. Kita tidak lupa juga universiti-universiti teknikal lain seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan institusi di bawah jaringan Malaysian Technical University Network yang turut memainkan peranan penting,” katanya.

Zambry berkata, kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem menyeluruh termasuk membabitkan peringkat akar umbi pendidikan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang semikonduktor, kejuruteraan, teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN