KANGAR: Seorang penolong pegawai tadbir dan pembantu tadbir kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri direman lima hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos depan bagi membantu siasatan setelah disyaki menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi berkaitan perolehan empat projek kerajaan Perlis bernilai hampir RM100,000.
Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek berusia 42 dan 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Terdahulu, kedua suspek berkenaan yang lengkap berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar sekitar pukul 9 pagi.
Kedua-dua suspek itu ditahan di pejabat SPRM pada pukul 2 petang, semalam.
Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing untuk kepentingan peribadi.
Katanya, kesalahan itu juga dipercayai dilakukan sejak 2020 sehingga tahun lalu.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi berkaitan perolehan bagi perkhidmatan mencuci karpet dengan nilai hampir RM100,000,” katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek tersebut. – UTUSAN










