Dua operator kilang dituduh sokong, miliki item berkaitan IS - Utusan Malaysia

Dua operator kilang dituduh sokong, miliki item berkaitan IS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua operator kilang lelaki warganegara Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Tertuduh, Md. Mamun Ali, 31, dan Md. Refat Bishat, 27, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan setelah tidak memahami pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Md. Mamun dituduh dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi media sosial, Facebook atas nama Sahifulla Islam.

Perbuatan itu dilakukan antara 28 Julai 2023 hingga 30 April 2024 di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur. 

Pertuduhan itu dilakukan di bawah perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Md. Refat dituduh memiliki sekeping gambar bendera IS yang merupakan item yang berkaitan kumpulan pengganas di dalam sebuah telefon miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Datin Halimah, Larkin Industrial Estate, di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 10 Julai lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Lelaki warganegara Bangladesh itu boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff dan Nur Ainaa Ridzwan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan kemudian memohon kes ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan jurubahasa Bangladesh dikemukakan untuk pertuduhan dibacakan semula.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula bagi lantikan jurubahasa Bangladesh. Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN