KOTA TINGGI: Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, malam tadi dan awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.10 pagi tadi di Kilometer 42, seorang wanita, Hamizah Ahmad, 55, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan sejurus turun dari bas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Perodua Myvi dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi dipercayai tidak sempat mengelak mangsa yang tiba-tiba berlari melintas.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam kejadian berasingan pada pukul 11 malam di Kilometer 33.5, seorang lelaki warga Indonesia maut apabila motosikal Modenas CT yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh Yamaha LC135 ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun.
Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang berada di laluan sama.
Penunggang Modenas meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang Yamaha mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










