Semua kementerian perlu laksana agenda bumiputera - Utusan Malaysia

Semua kementerian perlu laksana agenda bumiputera

ANWAR Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di Putrajaya semalam. – MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi kerajaan akan bersama-sama memikul tanggungjawab melaksanakan pembangunan bumiputera sebagai agenda nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggapan bahawa agenda pembangunan bumiputera hanya perlu dipikul oleh agensi se­perti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional adalah tidak lagi relevan.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih berkesan berbanding mewujudkan agensi bumiputera baharu kerana keutamaan adalah untuk memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan keberkesanan agensi sedia ada.

“Sebab itu saya tidak cen­derung menubuhkan agensi bumiputera baharu tapi saya cenderung memastikan agensi ini diperkasa. Agensi lain, jabatan dan kementerian lain semuanya itu mesti ada agenda bumiputera.

“Walaupun Kementerian Digital; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu dipimpin oleh bukan bumiputera, menteri­nya, tetapi mereka juga punyai tanggungjawab melaporkan tiap acara baharu untuk memperkasa syarikat bumiputera.

“Dengan pendekatan ini melalui kerjasama pimpinan penjawat awam dan pengurusan jentera GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan agensi kerajaan akan memastikan pertumbuhan yang lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di sini, semalam.

SParK 2026 adalah platform utama PUNB dalam memperkukuh ekosistem usahawan bumiputera yang lebih berdaya saing, mampan dan bersedia untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

Anwar berkata, setiap kementerian dan agensi perlu memastikan dasar digubal bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negara, malah turut menjamin pengagihan peluang secara adil termasuk kepada bumiputera.

Katanya, setiap agensi bumiputera perlu bergerak secara bersepadu dan saling melengkapi, bukannya beroperasi secara berasingan.

Anwar turut memberi amaran amalan melobi dan menggunakan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman atau bantuan daripada agensi bumiputera boleh menjejaskan keberkesanan institusi, selain menyumbang kepada kegagalan perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan budaya lama yang mengutamakan hubungan atau pe­ngaruh berbanding keupayaan sebenar seseorang usahawan.

“Kalau pakai surat sokongan saja, itu sudah langkah melingkupkan agensi bumiputera seperti mana kita sudah warisi puluhan tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN