Pahang model ekosistem tahfiz tersusun – TPM - Utusan Malaysia

Pahang model ekosistem tahfiz tersusun – TPM

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pahang menjadi negeri contoh dan model yang membina ekosistem tahfiz negeri dengan lebih tersusun.

Ahmad Zahid berkata, Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh diba­ngunkan bukan secara terpisah tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.

Katanya, ia bermula dari peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa.

“Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada al-Quran sejak usia awal telahpun diterjemahkan di Pahang melalui ilham Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.

“Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz,”katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan, model itu tidak terhenti di Pahang yang mana melalui kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak 2023, Modul Tadika Tahfiz Negeri Pahang telah disebarluaskan ke Tabika Kemas seluruh Malaysia.

Katanya ia telah melibatkan seramai 146,390 kanak-kanak dalam program huffaz cilik di 9,745 Tabika Kemas.

“Ini membuktikan bahawa apabila pendidikan al-Quran disusun dengan visi yang jelas, ia boleh bermula seawal usia kecil, berkembang dalam sistem pendidikan dan melahirkan gene­rasi yang bukan sahaja dekat dengan al-Quran tetapi memiliki asas adab, disiplin dan kecintaan kepada ilmu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang diluluskan Kabinet menjadi platform utama menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz di seluruh negara.

Menurutnya, beliau turut diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikan Majlis Tahfiz Negara.

Jelasnya, ia merupakan langkah besar dalam usaha memperkasakan institusi tahfiz serta memastikan golongan huffaz mendapat pengiktirafan yang lebih luas dalam sistem pendidikan dan pembangunan negara.

“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.

“Saya mahu anak tahfiz mampu bergerak dari madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN