KUALA LUMPUR: Dua insiden melibatkan pelajar institut pendidikan tinggi swasta yang terjatuh dari sebuah kondominium di Taman Melati di sini pada 20 Ogos lalu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan masih berjalan dan dilakukan secara menyeluruh termasuk dakwaan berlakunya buli.
Katanya, pada peringkat ini, semua bukti akan diperoleh bagi melihat sama ada terdapat perbuatan buli itu.
“Siasatan itu kami akan lakukan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan selari dengan kertas siasatan yang dibuka di bawah mati mengejut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.48 pagi, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi
Pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Dalam insiden kedua pula berlaku pada pukul 9.35 malam apabila seorang lelaki berumur 21 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 blok dan ditemukan di bahagian belakang kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa belajar di kolej swasta yang sama. – UTUSAN










