IPOH: Dua beradik ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan air di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua mangsa tersebut merupakan adik-beradik lelaki berusia sembilan dan lapan tahun.
Katanya, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.33 malam melalui panggilan MERS 999 yang dibuat orang awam.
“Berdasarkan siasatan, dua pelajar sekolah rendah itu dipercayai telah keluar bermain berhampiran kawasan tapak pembinaan bersebelahan rumah sewa mereka sebelum dijumpai orang awam dalam kolam tadahan itu.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.39 malam, hari yang sama,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bedah siasatan yang dijalankan ke atas mayat dua beradik itu mendapati punca kematian akibat lemas.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian terhadap mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Zainal Abidin menasihati orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan anak-anak terutama apabila berada berhampiran kawasan berisiko seperti sungai, kolam, lombong dan tapak pembinaan.
“Pihak pemaju atau kontraktor juga diingatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan termasuk pemasangan pagar serta papan tanda amaran di kawasan pembinaan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor P. Munesuwari di talian 016-5921325 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN