Dominic dakwa PM ‘putar belit’ data hutang negara

Dominic dakwa PM ‘putar belit’ data hutang negara

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap ‘licik’ kerana didakwa memanipulasi data bagi mengelak menjawab isu sebenar berhubung kedudukan keseluruhan hutang negara.

Menurutnya, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar hanya menyentuh tentang nisbah hutang statutori kepada KDNK iaitu 62.7 peratus, tetapi tidak menjelaskan mengenai nisbah keseluruhan hutang negara.

“Walaupun kadar itu dikatakan terkawal, hakikatnya ia hanya berjaya dikekalkan kerana kerajaan menaikkan had siling hutang beberapa kali. Ini mengelirukan dan tidak jujur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoe Chai mempersoalkan sama ada angka 62.7 peratus itu termasuk hutang luar negara serta pinjaman melalui Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB), dan menuntut penjelasan sama ada hutang sebenar negara sudah melebihi 65 peratus daripada KDNK.

Katanya, kerajaan perlu telus kerana isu hutang memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan keyakinan pelabur asing.

“Jangan kaburkan rakyat dengan angka mengelirukan. Di mana janji ketelusan dan integriti yang sering dilaungkan?,” katanya.

Beliau turut membidas pemimpin Pakatan Harapan yang dahulu mendakwa negara akan bankrap jika hutang mencecah RM900 bilion, sedangkan kini hutang telah melebihi RM1.3 trilion di bawah kepimpinan Anwar.

Hoe Chai turut membandingkan nisbah hutang era Perikatan Nasional iaitu 57.7 peratus dengan kerajaan kini, serta mempersoalkan logik kerajaan kononnya mengurangkan hutang RM20 bilion sambil meminjam jumlah sama dari luar negara.

“Ini kenyataan yang amat tidak masuk akal. Ia seperti menggali lubang baru untuk menutup lubang lama. Rakyat layak mendapat jawapan yang lebih bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×