Didakwa merompak guna pisau pemotong daging

Didakwa merompak guna pisau pemotong daging

AMIRUL Hamry Hambalyi Azahari (tengah) dibawa anggota polis bagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merompak menggunakan pisau pemotong daging bulan lalu.-UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau pemotong daging, bulan lalu.

Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai sebanyak RM202.80, tiga kotak rokok serta sebuah mesin pengimbas harga.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Laksamana Cheng Ho 2 dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Julai lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 beserta syarat tambahan tertuduh melapor diri setiap dua minggu sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 beserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 2 September depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN