Desakan selesaikan isu Sabah meningkat

Desakan selesaikan isu Sabah meningkat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketika penggal pentadbiran kerajaan Sabah hampir ke penghujung, tekanan terhadap Kerajaan Persekutuan semakin meningkat agar segera menyelesaikan isu-isu tertunggak membabitkan hak rakyat Sabah.

Antara perkara yang menjadi tumpuan ialah tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), agihan 40 peratus hasil negeri, peluang pekerjaan untuk anak tempatan serta pelaksanaan undi pos bagi rakyat Sabah yang bermastautin di Semenanjung.

Pengerusi Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) di Semenanjung, Faisal Mohidin berkata, kerajaan perlu lebih proaktif dalam membela nasib rakyat Sabah, khususnya yang berada di luar negeri.

Katanya, dalam Dialog Khas bersama pelajar UKM dan SMK Bongawan, isu utama yang dibangkitkan termasuk kegagalan menyelesaikan 20 tuntutan asal Sabah, keperluan undi pos serta kebimbangan terhadap peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Isu undi pos anak Sabah di Semenanjung bukan perkara baharu. Kalau kerajaan boleh sediakan fasiliti lengkap untuk rakyat Indonesia mengundi di sini, kenapa rakyat Sabah di Semenanjung dibiarkan?,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kemudahan lengkap ketika pilihan raya Indonesia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, yang memperlihatkan komitmen tinggi terhadap hak mengundi warganegara asing.

Dalam perbandingan itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak seolah-olah dipinggirkan dalam proses demokrasi negara sendiri.

Faisal mencadangkan isu itu segera dibawa ke Parlimen dan DUN sebagai usul penting, memandangkan lebih 400,000 rakyat Sabah kini menetap di Semenanjung.

Selain isu MA63, beliau turut menyeru agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, khususnya untuk belia dan graduan Sabah.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan penubuhan Sekretariat Hal Ehwal Anak Sabah di Semenanjung, satu entiti khas menjaga kebajikan komuniti Sabah di luar negeri – cadangan yang telah dikemukakan sejak 2013 dan 2023.

“Saya berharap isu-isu ini tidak lagi dipandang ringan. Ia menyentuh hak dan masa depan rakyat Sabah, di mana saja mereka berada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN