KLUANG: Terpisah dengan empat anak yang masih kecil dan perlu menguruskan bayi yang dilahirkan dalam tahanan, bukan perkara mudah malah boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan dalam kehidupan.
Demikian keperitan yang dilalui Rosmah, 42, bukan nama sebenar selepas dipenjara dua tahun akibat terjebak sebagai orang suruhan sindiket ceti haram atau ‘along’.
Katanya, pengalaman merengkok selama 18 bulan dalam penjara selepas ditangkap bersama rakan kerana membakar 22 buah rumah dan kenderaan memberikan pengajaran yang tidak akan dilupakan serta menjadi pengajaran buatnya.
“Saya tak sabar nak balik rumah, nak peluk dan cium anak sejak dimasukkan ke sini (Penjara Kluang) hampir dua tahun lalu. Setiap masa, saya terbayang anak-anak bawah jagaan ibu di Johor Bahru. Saya terlalu rindu mereka dan selepas ini, saya nak bersama mereka sepanjang masa,” katanya.
Rosmah ialah antara 41 banduan yang terlibat dalam Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Penjara Kluang di sini, semalam.
Ibu tunggal itu bersalin anak kelimanya pada hari pertama menjejak kaki ke penjara pada November 2023 tanpa ditemani ibu bapa atau anak-anaknya yang lain.
Katanya, sepanjang menjalani hukuman, dia mempelajari pelbagai kemahiran seperti menjahit pakaian dan membuat beg.
Seorang lagi bekas banduan yang ingin dikenali sebagai Azmi, 57, berkata, dia bersyukur mendapat PBSL selepas disabitkan kesalahan mencuri telefon bimbit.
“Sebelum ini, saya bekerja sambilan sebagai penterjemah, namun kehidupan keluarga yang ketika itu mewah kemudiannya menjadikan kami susah.
“Saya terjebak dengan jenayah ini kerana terdesak untuk mendapatkan wang yang akhirnya membawa saya ke dunia yang gelap,” katanya yang masih bujang. – UTUSAN










