MACHANG: Seorang lelaki dipercayai banduan yang baharu dibebaskan dari penjara ditemukan mati dalam keadaan meniarap di Kilometer 25, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.47 petang.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai seorang banduan penjara yang baru dibebaskan dan dilihat berjalan kaki sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan mendapati si mati mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Azuhar memberitahu, pemeriksaan awal dijalankan pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang mempunyai unsur jenayah.
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Krai untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan es diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-UTUSAN










