MUAR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menawarkan pentas di Radio Television Malaysia (RTM) untuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdialog dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, Onn Hafiz dilihat takut untuk berdebat dengan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu dan bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin cuba untuk mengaburi mata rakyat.
“Saya lihat Onn Hafiz banyak benda yang tidak berani, walaupun dijemput dengan baik, sampaikan Maszlee membuka peluang untuk 41 anak muda berdebat dengannya. Untuk menjadi seorang calon Menteri Besar harus bersedia untuk berdepan, bukan dengan media dan penyokong-penyokong tetapi dengan pihak yang berlainan pandangan dan pendapat.
“Kalau perlu, saya sedia menyediakan di RTM, TV1, pentas untuk Maszlee dan Onn Hafiz berdebat atau kalau tidak mahu, boleh berdialog. Saya percaya Onn Hafiz tidak akan buat drama ‘Hollywood’, saya percaya akan memberanikan diri untuk berdialog,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal DAP Bentayan, di sini.
Sebelum ini, Khairy berkata, PH perlu mengemukakan calon Menteri Besar Johornya terlebih dahulu sebelum mahu berdebat dengan Onn Hafiz.
Katanya, debat hanya wajar diadakan antara dua individu yang berada pada kedudukan setara sebagai calon Menteri Besar dan bukannya melibatkan pemimpin yang belum mendapat pengesahan sebagai calon rasmi.
Sementara itu, Fahmi membidas tindakan yang merosakkan bahan-bahan kempen PH terutama di DUN Tanjung Surat.
Katanya, beberapa calon PH memaklumkan kepadanya, ada pihak tidak bertanggugjawab yang mencipta akaun palsu menggunakan wajah mereka untuk menyebar maklumat palsu.
“Calon maklumkan papan-papan iklan mereka telah dirosakkan dan ini menandakan satu fasa dalam kempen yang tidak sihat.
“Waktu saya berkempen di Lembah Pantai dahulu pun ada elemen-elemen gangsterisme yang bukan sahaja cuba menakut-nakutkan calon tetapi orang ramai juga. Ini budaya kuno yang tidak wajar dipertimbangkan,” katanya. – UTUSAN










