PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan pegawai mereka yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah, rokok serta barangan lain.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Kami akan memberi kerjasama sebaiknya dan insya-Allah jumlah sebenar yang ditahan membabitkan pegawai ATM akan dimaklumkan dalam masa terdekat
“Kami sama sekali tidak akan merahsiakannya. Biarlah perkara ini disiasat dengan terperinci,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, sindiket penyeludupan dadah, rokok serta barang-barang lain yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM terbongkar, selepas sepuluh individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan SPRM.
Penahanan kesemua individu termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun dilakukan di sekitar Lembah Klang sejak operasi Op Sohor dilancarkan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Sindiket yang beroperasi di selatan tanah air itu dianggotai pegawai-pegawai kanan Bahagian Perisikan ATM termasuk dua bekas anggota daripada bahagian yang sama.
Menurut sumber, mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta. – UTUSAN










