Cukupkah wang kita untuk bersara? - Utusan Malaysia

Cukupkah wang kita untuk bersara?

Malaysia memerlukan pembaharuan kerana peningkatan jangka hayat dan asas cukai yang mengecil mengancam kemampanan skim pencen sedia ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka pascapandemik Covid-19 bagi menghadapi kesan kehilangan pendapatan walaupun belum sampai masa persaraan sepatutnya, telah menimbulkan persoalan tentang persediaan menghadapi usia selepas bersara.

Ketika itu lebih 8.1 juta pencarum KWSP mengeluarkan kira-kira RM145 bilion daripada simpanan mereka sepanjang tempoh pandemik bagi mengimbangi kehilangan pekerjaan atau melunaskan hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kebimbangan terhadap jumlah simpanan yang mencukupi untuk bersara semakin meningkat ekoran unjuran menunjukkan jangka hayat rakyat akan meningkat kepada 81 tahun menjelang 2050.

Unjuran jangka hayat ketika ini adalah 74.8 tahun bagi lelaki dan 78.9 tahun bagi wanita, berbanding 68.7 tahun (lelaki) dan 73.4 tahun (wanita) pada 1990.

Sehubungan itu beliau berkata, langkah segera perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan rakyat bersedia dari segi kewangan dan sosial dalam menghadapi tempoh usia emas.

Kini, separuh daripada pencarum berusia 55 tahun ke bawah mempunyai baki kurang RM10,000 manakala baki median ahli aktif hanyalah RM10,898.

Seorang pesara yang memerlukan RM1,500 sebulan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara memerlukan sekurang-kurangnya RM360,000.

Namun 74 peratus daripada ahli aktif KWSP hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000.

Keadaan itu diburukkan dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang hanya 12.6 peratus pada 2023, jauh lebih rendah daripada purata Asia Pasifik (19.3 peratus) dan OECD (34 peratus).

Kadar kelahiran rakyat negara ini yang menurun10.2 peratus kepada 100,732 pada suku kedua 2024 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, juga menimbulkan kebimbangan kerana ia bermakna sumbangan cukai dan caruman KWSP juga akan menurun pada masa depan.

Sistem simpanan persaraan di Malaysia

Mekanisme utama persaraan di Malaysia adalah KWSP iaitu skim caruman tertakrif (defined contribution-DC) di mana sumbangan individu dan majikan, bersama pulangan pelaburan yang membentuk simpanan persaraan pekerja.

Skim pencen manfaat tertakrif (defined benefit-DB) pula adalah pembayaran bulanan berdasarkan gaji akhir dan tempoh perkhidmatan masih berkuat kuasa bagi penjawat awam.

Walaupun model DB selamat untuk penerima manfaat, ia membebankan kewangan awam dengan kos jangka panjang besar.

Sebaliknya pendekatan DC semakin dianggap lebih mampan di seluruh dunia kerana ia mengalihkan risiko pelaburan dan jangka hayat daripada kerajaan, memberikan individu kawalan lebih baik serta kebolehalihan, dan mengurangkan cabaran dalam pengurusan fiskal.

Bagi mengurangkan risiko pesara kehabisan wang, pakar mencadangkan skim pencen hibrid yang menggabungkan elemen DC dan DB.

Dalam skim itu, pencarum hanya dibenarkan mengeluarkan sebahagian simpanan secara sekali gus manakala selebihnya dibayar secara bulanan sepanjang hayat.

Aturan ini sedikit-sebanyak mengembalikan ciri perlindungan skim pencen penjawat awam, pendapatan minimum sepanjang hayat yang dijamin, sambil mengelakkan beban fiskal daripada model dibiayai sepenuhnya melalui cukai.

Pembaharuan hibrid ini dilihat berpotensi untuk memastikan pesara dapat mengekalkan taraf hidup asas walaupun simpanan individu habis.

Model seperti CPF Life di Singapura digunakan sebagai contoh, yang memastikan pesara menerima pendapatan minimum sepanjang hayat tanpa membebankan kewangan negara.

Selain itu, literasi kewangan rakyat perlu dipertingkatkan melalui insentif seperti padanan caruman, pelepasan cukai dan skim simpanan sukarela.

Kerajaan juga disaran memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membangunkan kemudahan penjagaan warga emas yang menyeluruh bagi menyokong populasi yang semakin menua.

Tanpa pembaharuan menyeluruh, Malaysia berisiko berdepan krisis persaraan dalam tempoh dua dekad akan datang apabila semakin ramai pesara hidup tanpa sumber kewangan mencukupi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN