Che Tam kini jaga Bantut, ‘Baby’

Che Tam kini jaga Bantut, ‘Baby’

CHE TAM beristirahat bersama kerbau kesayangannya yang digelar Bantut (belakang) dan Baby (depan) di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 2, Gambang, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Siapa sangka kisah kanak-kanak perempuan berkawan dengan kerbau yang disiarkan Mingguan Malaysia pada Februari lalu terus mendapat perhatian ramai, sekali gus menjadikan mereka semakin dikenali.

Bukan itu sahaja, populariti Che Tam atau nama sebenarnya Nurul Afina Aqila Azman, 11, semakin meningkat sejak video aktiviti harian bersama haiwan ternakan kesayangannya yang diberi nama ‘Bantut’ dimuat naik dalam laman sosial TikTok.

Video-video Che Tam yang gemar menghabiskan masa lapangnya hampir setiap hari bersama Bantut kian tular hingga akaun TikTok miliknya meraih 13,000 pengikut dan 200,000 tanda suka sejak Jun lalu.

Ibunya, Nurul Nadia Ahmad, 31, berkata, perkongsian video Che Tam dan Bantut terus dibuat atas permintaan ramai yang ingin mengikuti kisah selanjutnya, sejak tersiar berita tentang anaknya itu dalam Mingguan Malaysia.

“Kami buat TikTok ini bukan sahaja atas permintaan ramai tetapi untuk berkongsi kisah Che Tam yang mana mungkin boleh menjadi contoh kepada orang lain.

“Walaupun ada yang boleh terima minat Che Tam terhadap haiwan ternakan itu sehingga tidak jemu-jemu memberikan kata semangat dan sokongan pada ruangan komen, tetapi tidak kurang mencemuh serta memberikan pandangan negatif.

“Mereka (netizen) mula mempertikaikan keakraban Che Tam, yang kata bahaya dari segi keselamatan, haiwan kotor, boleh terkena jangkitan kuman dan banyak lagi. Kami hanya diam, sebaliknya memang kami pantau setiap tindak-tanduk Che Tam dan Bantut. Kami ajar cara-cara mendekati, menjaga dan bermain dengan haiwan peliharaan. Kami faham memang ada bahayanya sebab binatang tetap binatang,” katanya ketika ditemui.

Nurul Nadia berkata, kini Nurul Afina Aqila mempunyai tanggungjawab baharu kerana Bantut yang dihadiahkan oleh datuknya empat tahun lalu ketika Che Tam berusia tujuh tahun, sudah mempunyai anak.

“Ketika kunjungan Mingguan Malaysia terdahulu, Che Tam hanya menghabiskan masa bermanja dan bermain dengan Bantut tetapi kini sudah bertambah dengan kehadiran anak Bantut yang digelar ‘Baby’, dilahirkan pada Jun lalu.

“Sama seperti Bantut, tidak kurang kasih sayang yang diberikan kepada Baby. Dia lah menjaga, memberi makan dan bermain. Bila sudah bertambah lagi seekor ini, lebih kerap dia ke kandang kerbau dan adakalanya pada waktu malam memandang kan Baby perlu lebih perhatian pada ketika ini.

“Jadi boleh kami menambah lagi pengisian video untuk dikongsi dengan pengikut di TikTok dan Facebook, semuanya menunggu kisah Che Tam bersama Bantut dan juga Baby,” katanya.

Dia dan suami terus menyokong minat Che Tam terhadap haiwan ternakan khususnya kerbau, namun untuk meneruskan minat tersebut aspek pembelajaran anak tunggalnya tidak diabaikan.

“Insya-Allah, buat masa ini kami memang banyak memberi ruang kepadanya membiasakan diri bersama kerbau peliharaannya dan dalam masa sama bantu dia membahagikan masa antara beraktiviti di kandang dengan pelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN