WASHINGTON: Kerajaan Brazil pada Khamis mengecam keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap beberapa produk Brazil.
“Kerajaan Brazil menolak keputusan yang diumumkan hari ini oleh kerajaan Amerika berhubung pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas produk Brazil,” kata pejabat Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dalam satu kenyataan di platform X semalam.
Pejabat itu juga menafikan dakwaan mengenai amalan perdagangan tidak adil.
Sebelum ini, AS mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas pelbagai barangan import dari Brazil selepas siasatan selama setahun terhadap perdagangan dan beberapa dasar lain negara itu.
Menurut seorang pegawai kanan AS yang memaklumkan perkara itu kepada pemberita, tarif tersebut akan berkuat kuasa pada 22 Julai.
Bagaimanapun, beberapa produk termasuk daging lembu, kopi dan komponen pesawat tertentu dikecualikan daripada tarif tersebut.
Pengecualian turut diberikan kepada barangan yang tidak dihasilkan di AS.
“Wujudnya amalan perdagangan tidak adil oleh Brazil telah menghalang pekerja dan pengeluar AS daripada mendapat akses ke pasaran penting ini,” kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, AS masih terbuka untuk meneruskan rundingan dengan Brazil bagi mencapai perubahan yang diperlukan terhadap isu-isu yang dikenal pasti dalam siasatan berkenaan.
Dalam dapatan awal siasatan sebelum ini, pihak berkuasa AS mendapati beberapa amalan Brazil dianggap tidak munasabah dan bersifat diskriminasi serta membebankan atau menyekat perdagangan AS.
Langkah terbaharu itu turut dibuat ketika pentadbiran Presiden Donald Trump berusaha menyusun semula agenda ekonominya selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan sebahagian besar tarif global yang diperkenalkannya.
Pelaksanaan tarif terhadap Brazil dibuat berdasarkan Seksyen 301 Akta Perdagangan AS, dan pentadbiran Trump pada tahun ini turut memulakan beberapa siasatan lain menggunakan peruntukan sama.
Dalam satu siri siasatan berasingan, pegawai AS mencadangkan tarif baharu terhadap puluhan rakan dagang yang didakwa gagal mengambil tindakan terhadap amalan buruh paksa.
Bagi kes Brazil, seorang pegawai kanan AS pada Rabu menyasarkan beberapa tindakan yang dianggap merugikan oleh Washington, termasuk berkaitan perdagangan digital dan persaingan ‘tidak adil’ yang dikaitkan dengan sistem pembayaran elektronik milik kerajaan iaitu PIX, selain beberapa isu lain.
Pegawai AS itu berkata, ruang untuk rundingan masih terbuka namun, Washington mahu kebimbangannya terhadap isu berkenaan diselesaikan. – AFP










