KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyanyi rap, Caprice memadam serta-merta semua hantaran berunsur fitnah terhadap seorang ahli perniagaan yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya bulan lalu.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Datuk Seri R. Jeyenderan, 50, terhadap Caprice.
Mahkamah turut menghalang Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, daripada terus menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif sementara menunggu pendengaran injunksi inter-parte selesai.
Peguam bela, V. Muniandy, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa yang mewakili plaintif serta peguam Megat Syazlee Mokhtarom bagi pihak defendan mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi pemberita.
Jeyenderan memfailkan saman pada 21 Julai lalu dengan mendakwa Caprice telah memuat naik beberapa hantaran mengandungi gambar dan video dirinya di Instagram pada 10 Julai.
Hantaran itu didakwa mengaitkan beliau dengan kegiatan jenayah, gangsterisme dan ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti yang sah.
Jeyenderan berkata, fitnah tersebut dilakukan bagi menimbulkan syak wasangka, kebencian masyarakat serta tekanan sosial terhadap dirinya, selain mendakwa Caprice tidak pernah menghubunginya atau mana-mana wakilnya bagi mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan itu.
Menurutnya, tindakan defendan jelas menunjukkan tiada niat untuk menyampaikan maklumat secara adil dan benar, sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasinya, apatah lagi Caprice mempunyai pengaruh besar dengan jumlah pengikut melebihi 1.5 juta di Instagram.
Akibat penerbitan fitnah tersebut, reputasi Jeyenderan sebagai pakar dalam bidang perkapalan dan maritim terjejas di peringkat global, selain mendakwa mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta berikutan kehilangan beberapa kontrak ceramah utama di Dubai, Turki dan India yang ditawarkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.
Tambahnya, satu notis tuntutan telah dihantar kepada Caprice menerusi peguamnya pada 15 Julai lalu yang mengemukakan beberapa tuntutan, namun ia dinafikan oleh defendan melalui Tetuan Megat Iqbal & Co.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta atas kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Selain itu, beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Caprice daripada menerbitkan kenyataan fitnah selanjutnya, mengarahkan defendan memadamkan semua hantaran terbabit serta memohon maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau di bawah kawalan defendan.-UTUSAN










