ALOR SETAR: Polis Kedah membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai mengeluarkan permit kerja dan kad pelarian UNHCR palsu selepas menahan 24 individu dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kulim, bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada 27 Jun lalu berjaya menahan 19 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Rohingya, seorang wanita Rohingya dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun.
Menurutnya, operasi itu turut membawa kepada rampasan 40 pasport, 10 telefon bimbit, empat komputer riba serta satu permit kerja palsu.
“Serbuan dilakukan di empat lokasi iaitu kedai runcit, kedai komputer dan rumah yang dijadikan tempat penginapan sementara bagi warga asing.
“Hasil siasatan mendapati sindiket ini dipercayai dikendalikan seorang warga Bangladesh yang memiliki dokumen perjalanan lengkap dan berkahwin dengan wanita tempatan berusia 69 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek utama dipercayai menggunakan beberapa syarikat milik isterinya termasuk syarikat pembinaan bertaraf G7 dan kedai runcit bagi melayakkan permohonan pekerja asing dibuat secara sah melalui saluran imigresen.
Bagaimanapun, sindiket itu dipercayai mengambil kesempatan dengan mengeluarkan permit kerja serta kad UNHCR palsu kepada warga asing yang sanggup membayar antara RM80 hingga RM250 bagi setiap dokumen.
Katanya, seorang lagi suspek utama warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai rangkaian kedai komputer di Kulim, Sungai Petani dan Butterworth masih diburu polis selepas melarikan diri ketika serbuan.
“Dalam komputer riba yang dirampas, kita menemui pelbagai dokumen berkaitan permohonan UNHCR, templat kosong serta perisian yang dipercayai digunakan untuk mengubah suai dan menghasilkan dokumen palsu.
“Semakan juga mendapati terdapat individu menggunakan identiti berbeza pada pasport dan kad UNHCR walaupun melibatkan gambar orang yang sama,” katanya.
Adzli berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dan turut dikesan membawa masuk warga asing melalui laluan darat sebelum menyediakan dokumen bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini.
Beliau berkata, semua tangkapan direman sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen, manakala polis turut meneliti tindakan lanjut termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Polis juga akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Imigresen untuk menyenaraihitamkan individu yang terlibat sekiranya siasatan mendapati mereka terbabit dalam aktiviti tersebut,” katanya. – UTUSAN









