KUALA LUMPUR: Pindaan undang-undang berkaitan pengangkutan jalan kini membolehkan tindakan diambil lebih awal terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti lumba haram tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini tindakan punitif hanya boleh dikenakan selepas berlaku kemalangan yang berpunca daripada kegiatan tersebut.
Katanya, selepas pindaan tersebut, mana-mana individu yang didapati menyertai aktiviti lumba haram boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman walaupun tiada kemalangan berlaku.
“Seperti yang saya kata, sebelum pindaan yang dibuat ini, punitif itu ataupun hukuman itu hanya boleh dijatuhkan selepas berlaku kemalangan.
“Jadi sekarang ini, kita telah membuat pindaan bahawa mana-mana pihak yang terlibat dalam lomba haram, walaupun sebelum kemalangan itu berlaku, kalau terlibat sahaja dalam aktiviti lumba haram itu, maka ia boleh disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk ir. Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta kementerian mengakui hukuman sedi ada ke atas kesalahan kemalangan jalan raya tidak mencukupi dan memerlukan tindakan punitif yang lebih berat supaya kegiatan lumba haram ini dapat dihapuskan.
Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun terhadap individu yang disabitkan kesalahan terlibat dalam perlumbaan haram atau menduga kelajuan di jalan raya.
Loke berkata, di bawah pindaan itu, peruntukan baharu Seksyen 42A menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut, Loke bagaimanapun mengakui undang-undang yang lebih tegas sahaja tidak mencukupi untuk membanteras gejala tersebut kerana masih terdapat pihak yang sanggup melanggar peraturan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk masyarakat, pemimpin komuniti dan ahli Parlimen bersama-sama memainkan peranan dengan mempergiatkan kempen kesedaran bagi mendidik golongan muda mengenai bahaya lumba haram.
“Kita pun tahu dalam apa sahaja undang-undang, walaupun undang-undang yang ketat, undang-undang yang berat, masih ada orang yang akan mencabar undang-undang tersebut. Jadi ada pelbagai pendekatan lain yang perlu digunakan.
“Jadi harapan saya, selain daripada tindakan bahawa kawasan undang-undang, masyarakat dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat juga memainkan peranan masing-masing supaya sama-sama kita memberikan mesej yang jelas bahawa ini, lumba haram ini adalah sesuatu yang tak boleh dikompromikan,” katanya. – UTUSAN










