PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mewakili kerajaan Malaysia untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Ayahanda Amir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani bermula hari ini hingga esok.
Menerusi perkongsian dalam Facebook, beliau memaklumkan sudah berada di Doha dan akan melakukan kunjungan rasmi di Istana Lusail.
“Awal pagi tadi, saya tiba di Doha, Qatar bagi mewakili Kerajaan Malaysia untuk menzahirkan penghormatan akhir buat Almarhum Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.
“Saya akan melakukan kunjungan ke atas Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Istana Lusail yang dijadualkan pada hari ini.
“Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada kepemimpinan serta seluruh rakyat Qatar atas kepulangan ke rahmatullah Almarhum Ayahanda Amir Qatar,” katanya.
Susulan kemangkatan Almarhum Ayahanda Amir Qatar, negara itu mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama empat hari di seluruh negara bermula Ahad lalu.
Sepanjang tempoh itu, semua kementerian, agensi kerajaan dan institusi awam di Qatar akan ditutup. – UTUSAN










