PETALING JAYA: Meskipun sudah bergelar Biduanita Negara, keperibadian Datuk Seri Siti Nurhaliza terus dijulang tinggi disaat penyanyi itu merendah diri menghiburkan penumpang sebuah pesawat syarikat penerbangan tempatan menuju ke Yogyakarta, Indonesia.
Menurut Siti, peluang untuk bermesra dengan para peminat di dalam pesawat tidak selalunya hadir malah dia juga sempat mengadakan beberapa aktiviti sebelum tiba ke destinasi yang dikunjungi.
“Bukan selalu dapat beramah mesra dan menghiburkan para penumpang di dalam pesawat.
“Alhamdulillah, sejam sebelum sampai ke destinasi, saya sempat menguji kemampuan beberapa penumpang menyampaikan lagu saya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Lebih menarik lagi, penyanyi kesayangan ramai itu juga berbesar hati apabila pihak syarikat penerbangan itu turut menyediakan buah tangan berupa hadiah buat pemenang yang menaiki pesawat tersebut.
“Mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana Air Asia telah menyediakan hadiah atau cenderamata.
“Pemenang tempat pertama menerima hadiah tiket penerbangan dari mana-mana destinasi Indonesia ke Malaysia (pergi dan pulang),” kongsinya.
Difahamkan, Siti sempat menyampaikan dua buah lagu secara spontan menggunakan intercom iaitu Bukan Cinta Biasa dan Menamakanmu Cinta.
Kagum melihat aksi spontan biduanita itu, perkongsian tersebut telah dihujani pelbagai respons dari kalangan selebriti dan peminatnya di ruangan komen.
“Satu dalam sejuta, itulah Siti Nurhaliza,” komen seorang peminat.
“Seronoknya satu kapal terbang dengan Biduanita Negara,” seloroh netizen.- UTUSAN