KUALA LUMPUR: Sebanyak 224 jalan berlubang di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli telah dibaiki sejak Januari hingga Julai tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua kerosakan yang dikenal pasti melalui rondaan berkala atau aduan awam dipulihkan dalam tempoh 24 jam oleh syarikat konsesi penyenggaraan yang dilantik kerajaan.
“Bagi langkah jangka pendek, syarikat konsesi melaksanakan penampalan segera (pothole patching) di bawah kerja penyelenggaraan rutin.
Selain itu, mereka turut bertanggungjawab menangani kerja kecemasan seperti membersihkan jalan selepas tanah runtuh, menyediakan pelan pengurusan trafik (TMP) serta laluan sementara,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd. Ghaffar berhubung penyelesaian komprehensif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi masalah infrastruktur di JRTB yang sering dikaitkan dengan kemalangan maut.
Nanta Linggi berkata, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan jalan raya termasuk pemasangan lampu di kawasan berisiko tinggi kemalangan.
“Dua lokasi di Jalan Persekutuan FT004 iaitu Seksyen 73 dan Seksyen 75.5, telah disenaraikan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pemasangan lampu jalan baharu pada 2025 dengan kos RM200,000,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf Laluan Persekutuan FT004 (JRTB) di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Cadangan projek itu melibatkan naik taraf Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) FT004 dari Seksyen 83.74 hingga 198.40 di Perak, serta dari Seksyen 198.40 hingga 224.90 di Jeli, Kelantan.
“Keputusan mengenai cadangan projek itu hanya akan diketahui selepas pembentangan Belanjawan 2026 nanti,” katanya.-UTUSAN










