KUALA TERENGGANU : Kerajaan Negeri Terengganu bersama tiga lagi negeri gabungan SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 27 Ogos ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan-kerajaan negeri terbabit menyifatkan RUU tersebut sebagai mencabar kuasa autonomi negeri, khususnya dalam hal berkaitan perancangan bandar dan pengurusan tanah yang sememangnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menurut Perlembagaan Persekutuan.
“RUU ini turut dilihat berpotensi menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi bandar, terutama melibatkan penduduk Melayu dan bumiputera yang selama ini bergantung kepada warisan tanah dan penempatan bersejarah sebagai asas sosioekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Beliau turut mempersoal ketelusan kandungan RUU berkenaan, khususnya berhubung mekanisme pampasan dan perlindungan yang sepatutnya ditawarkan kepada penduduk terlibat sekiranya pembangunan semula dijalankan.
Menurutnya, ketiadaan perincian dalam hal ini boleh menimbulkan ketidakadilan serta membuka ruang kepada eksploitasi terhadap golongan berpendapatan rendah dan pemilik tanah tradisi.
Kata beliau, kerajaan SG4 juga bimbang RUU ini bakal melebarkan jurang antara komuniti, mengganggu keharmonian masyarakat pelbagai kaum di bandar dan mewujudkan ketegangan akibat proses pembangunan yang tidak inklusif serta tidak mengambil kira suara rakyat terbabit.
“Malah, undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sudah mencukupi untuk menangani pembangunan semula bandar secara adil dan tersusun tanpa perlu penggubalan undang-undang baharu yang bersifat pusat dan berpotensi mengenepikan suara negeri serta rakyat.
“Kerajaan Negeri Terengganu berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam SG4 demi mempertahan hak negeri, kedaulatan rakyat serta keseimbangan pemilikan hartanah bumiputera di negara ini,” katanya.
RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 merupakan antara inisiatif kerajaan Pusat bagi mempercepat pembangunan semula kawasan bandar lama dan uzur, namun pelaksanaannya telah menerima pelbagai reaksi, terutama dari pihak negeri yang melihatnya sebagai cubaan mengambil alih peranan kerajaan negeri dalam soal pembangunan dan perancangan wilayah. – UTUSAN










