Suami isteri cedera rempuh gajah di Jalan Jerangau - Jabor 

Suami isteri cedera rempuh gajah di Jalan Jerangau – Jabor 

KEADAAN kenderaan dinaiki pasangan Amirul Afiq Aazmi dan Farhain Jolius yang merempuh gajah melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan lain dari arah belakang di Kilometer 160 Jalan Jerangau - Jabor menghala berhampiran Kampung Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh seekor gajah yang melintas jalan di Kilometer 160 Jalan Jerangau – Jabor menghala berhampiran Kampung Sungai Pergam, di sini, malam tadi. 

Kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu mengakibatkan Amirul Afiq Aazmi, 31, mengalami luka di bahagian dada manakala isterinya, Farhain Jolius, 23, cedera ringan dkaki dan dada.

Kejadian itu berlaku ketika pasangan suami isteri berkenaan menaiki yang Perodua Ativa sedang dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk pulang ke kampung halaman di Pasir Putih, Kelantan. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati, semasa pasangan suami isteri itu menghala ke arah Kuala Terengganu, seorang gajah berada di hadapan mereka dipercayai sedang melintas dari kanan ke kiri jalan. 

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan Amirul Afiq yang memandu tidak sempat menekan brek lalu merempuh gajah tersebut. Kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu kemudian dilanggar sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah belakang. 

“Pelanggaran itu turut mengakibatkan pemandu Myvi mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki. Semua mangsa yang cedera dibawa Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya. 

Sementara itu,  Amirul Afiq berkata, dia dan isterinya hanya mampu mengucap dan beristighfar apabila tiba-tiba ternampak seekor gajah berada kira-kira 10 meter di hadapan kereta dinaiki mereka. 

Amirul Afiq berkata, mereka yang menetap di Seri Kembangan, Selangor sedang dalam perjalanan pulang ke Pasir Putih selepas bercuti di Kuantan, Pahang dan memilih laluan tersebut buat kali pertama kerana mahu memasuki Plaza Tol Cheneh untuk menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Ketika memandu, keadaan jalan agak gelap. Tiba-tiba saya hanya nampak seekor gajah berada betul-betul di hadapan kereta pada jarak kira-kira 10 meter. Saya dan isteri hanya sempat mengucap. Semuanya berlaku terlalu pantas sehingga saya tidak sempat menekan brek sebelum merempuh hidupan  itu,” katanya.

Amirul Afiq  berkata, beberapa saat selepas rempuhan itu, kenderaan mereka kemudian dirempuh sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah belakang.

“Kereta kami remuk teruk dan pintu tidak dapat dibuka sdehiungga terpaksa keluar melalui bahagian tempat duduk pemandu. Kami tidak nampak gajah itu selepas rempuhan tersebut kerana kereta kemek,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×