HULU SELANGOR: Seorang lelaki yang mengetuai aktiviti pendakian bersama sekumpulan pelajar tingkatan enam meninggal dunia di Hutan Simpan Ulu Tamu, Batang Kali di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa warga tempatan berusia 60 tahun pengsan ketika mengetuai pelajar tingkatan enam yang melakukan aktiviti pendakian.
“Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, anggota bomba kemudian melakukan kerja membawa turun mangsa dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.










