HULU SELANGOR: Dua lelaki ditahan selepas menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertujuan untuk berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Mereka menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk membawa poster serta pelekat yang dihiasi pada kereta tersebut.
Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata, tangkapan itu dibuat selepas sahaja menerima laporan polis petang semalam.
“Hasil siasatan polis mendapati yang kenderaan tersebut dinaiki oleh dua lelaki warga tempatan dengan membawa kenderaan pacuan 4X4 Mazda berwarna hijau.
“Kenderaan tersebut telah diletakkan gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim serta terdapat bendera parti Pakatan Harapan di belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut, kertas siasatan dibuka atas Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Katanya, kedua-dua suspek telah ditahan reman bagi siasatan lanjut selama dua hari mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Satu semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Pihak polis Hulu Selangor berharap parti-parti politik tidak perlu memainkan isu sensitif dengan mengeluarkan, mempamerkan dan menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan bangsa kerana ia akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN










