Pembangkang gagal rujuk Anwar ke Jawatankuasa Parlimen

PARLIMEN: Pembangkang gagal rujuk Anwar ke Jawatankuasa Parlimen

TAKIYUDDIN HASSAN - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat pembangkang untuk merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak kesampaian apabila usul berkenaan ditolak.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau mengemukakan usul itu susulan kenyataan Anwar (PH–Tambun) berhubung tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan kes Pulau Batu Puteh.

“Usul saya ditolak kerana dikatakan perkara itu mengikut pengesyoran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sedangkan RCI tidak pernah menyatakan Tun Dr. Mahathir bersalah. Jadi ini satu lagi penipuan,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pembangkang mengemukakan usul merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Takiyuddin dilaporkan berkata, kuasa menentukan pendakwaan ke atas seseorang adalah terletak di tangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sehubungan itu, katanya, tidak ada alasan munasabah untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul yang dibawa oleh pembangkang tersebut memandangkan adalah jelas kenyataan Perdana Menteri berkenaan menunjukkan berlakunya salah guna kuasa.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan berkata, Kabinet tetap berpendirian Dr. Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.

Namun katanya, keputusan Kabinet untuk tidak mengambil tindakan undang-undang juga mengambil kira status Dr. Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri yang umurnya sudah mencecah 100 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN