Brek lori kren rosak, rempuh 10 kenderaan lain di lampu isyarat

Brek lori kren rosak, rempuh 10 kenderaan lain di lampu isyarat

Keadaan sebahagian daripada kenderaan yang rosak selepas dirempuh kren yang mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Kebun Teh, Johor Bahru kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah lori kren yang mengalami masalah sistem brek terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jalan Kebun Teh, di sini pagi semalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Indra Sahreil A. Bakar berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.16 pagi itu turut mengakibatkan empat penunggang motosikal cedera.

Beliau berkata, seramai 13 anggota bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori kren merempuh enam kereta dan empat motosikal. Pemandu lori kren serta semua pemandu kereta tidak cedera, namun empat penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan sebelum diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital,” katanya dalam kenya­taan, di sini semalam.

Tambahnya, kesemua individu terlibat berusia antara 28 hingga 66 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati lori kren dipandu lelaki berusia 49 tahun itu gagal dikawal setelah sistem brek tidak berfungsi ketika mahu berhenti di lampu isyarat.

“Susulan itu, lori terbabit merempuh beberapa kende­raan lain yang sedang berhenti di persimpangan berkenaan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN