BN mampu kuasai kerusi luar bandar PRN Sabah

BN mampu kuasai kerusi luar bandar PRN Sabah

AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pelajar melanjutkan pelajaran di Dewan Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) berpeluang mendominasi kerusi luar bandar manakala Pakatan Harapan (PH) pula kawasan bandar susulan rundingan pembahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berjaya dimuktamad.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, agihan kerusi yang berjaya dimuktamadkan itu memberi isyarat positif bahawa gabungan BN-PH sedang berada di landasan tepat untuk pecutan terakhir bagi menghadapi PRN Sabah.

“Jumlah kerusi (diperoleh BN) saya tak boleh beritahu kerana akan diumum pucuk pimpinan parti.

“Namun apa yang boleh diberitahu adalah kerusi bandar milik PH sama ada DAP atau PKR, manakala BN lebih fokus di luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 180 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta di Dewan Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, persiapan UMNO kali ini lebih awal dan teratur berbanding PRN Sabah pada 2020. 

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, kepimpinan UMNO telah melawat 20 bahagian Sabah manakala tinggal lima bahagian belum berbuat demikian iaitu Kimanis, Tenom, Kinabatangan, Libaran dan Penamapang yang bakal dilakukan masa terdekat.

Katanya, kehadiran kepimpinan UMNO dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabah memberi keyakinan bahawa parti itu mampu mencapai keputusan lebih baik kali ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pengagihan kerusi antara BN dan PH menjelang PRN Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan.

Presiden UMNO itu memaklumkan tiada sebarang rundingan kerusi dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai menghormati PH. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN