PETALING JAYA : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua daripada lapan individu yang direman kerana terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air mendapati kedua-duanya menyamar sebagai wartawan bagi membocorkan maklumat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pekerjaan mereka sebagai wartawan itu hanya dijadikan ‘topeng’ bagi melindungi peranan sebenar mereka dalam sindiket berkenaan.
“Berdasarkan semakan kami, kerja mereka sebagai wartawan hanyalah penyamaran bagi melaksanakan peranan dalam sindiket,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan dua wartawan terbabit dipercayai pernah berkhidmat dalam ATM.
Sumber dilaporkan berkata, kedua-duanya sudah bersara daripada tentera dan berkhidmat sebagai wartawan di sebuah agensi media dalam talian.
Peranan kedua-duanya belum dapat dipastikan memandangkan siasatan SPRM masih berjalan.
Semalam, SPRM menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan agensi media dalam talian yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Selain itu, turut direman seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.
Empat suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos ini, dua lelaki dan seorang wanita direman lima hari sehingga 18 Ogos ini manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga hari ini.
Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia antara 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin.










