PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melancarkan Rakan Tani iaitu aplikasi kecerdasan buatan (AI) berasaskan platform WhatsApp pertama di Malaysia yang direka khas untuk membimbing pesawah pada setiap peringkat kitaran penanaman padi.
Menurut BERNAS, melalui aplikasi itu pesawah boleh mendapatkan panduan masa nyata mengenai amalan pertanian terbaik berasaskan Jadual Kerja Ladang (JKL) termasuk pengurusan kesuburan tanah, kawalan perosak, penyakit serta rumpai.
Rakan Tani juga mampu menyesuaikan nasihat mengikut lokasi, jenis padi dan umur tanaman.
“Inisiatif ini bukan sekadar teknologi, tetapi usaha menjamin masa depan makanan negara. BERNAS komited membekalkan pesawah dengan ilmu dan peralatan yang diperlukan agar industri beras terus kukuh serta mampan.
“Kami akan menambah baik teknologi ini berdasarkan maklum balas pesawah sebelum diperluaskan ke seluruh negara demi membina sektor pertanian lebih berdaya tahan dan dipacu teknologi,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pejabat AI Nasional (NAIO), Sam Majid menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting dalam melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan yang memberi fokus kepada sektor agro-makanan.
“Dengan membawa AI ke hujung jari pesawah, kita bukan sahaja memperkukuh keterjaminan makanan negara, malah meningkatkan taraf hidup dan produktiviti mereka yang menjadi tulang belakang negara,” katanya.
Projek Rakan Tani kini sedang diuji menerusi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) hasil kerjasama rentas sektor antara NAIO, Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Bernas serta The Hive’s Global AI Village.
Sementara itu, Pengarah Urusan Global AI Village, Bjarte Olsen berkata, projek tersebut membuktikan peranan transformatif AI dalam sektor kritikal seperti pertanian.
“Rakan Tani bukan sahaja berpotensi mengoptimumkan hasil pesawah di Malaysia, malah boleh dikembangkan ke peringkat ASEAN,” katanya. – UTUSAN










