Beri banyak tugas adalah buli - Utusan Malaysia

Beri banyak tugas adalah buli

DZULKEFLY Ahmad (tengah) menunjukkan buku garis panduan buli pada majlis pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja, di Putrajaya semalam. – UTUSAN/HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tingkah laku yang ber­tujuan untuk menakut-nakutkan, merendahkan pilihan atau latar belakang individu, memberi beban tugas yang banyak de­ngan sengaja, merosakkan re­putasi, menggugat kedudukan, maruah dan status individu dianggap sebagai perbuatan buli dalam kalangan warga kerja Kementerian Kesihatan.

Perkara itu dinyatakan dalam Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja yang dilancarkan kementerian tersebut semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggariskan jenis-jenis perbuatan yang boleh dianggap buli di tempat warga KKM bertugas sebagai langkah menyeluruh membendung budaya toksik yang menjejaskan kesejahteraan lebih 250,000 warga kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, garis panduan itu menggariskan bentuk perbuatan yang dika­tegorikan sebagai buli termasuk intimidasi, pengasingan sosial, penyalahgunaan kuasa hingga penghinaan lisan, psikologi ma­­hu­pun siber.

Malah, ia turut­ merangkumi situasi di luar kawasan kerja sama ada rasmi atau tidak rasmi selagi berkaitan tanggungjawab pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya ti­dak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai terlibat dalam perlakuan itu termasuk kepada pegawai atau pengurusan tertinggi jika mereka didapati melindungi perbuatan itu.

“Saya sendiri mengambil tindakan memecat seorang pegawai ketika penggal pertama menerajui kementerian ini.

“Walaupun jawatan beliau itu tinggi dalam hierarki perjawatan dalam KKM ini namun, saya ingatkan sifar toleransi terhadap tingkah laku buruk ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja, di sini semalam.

Setakat 31 Julai lalu, MyHELP menerima 430 aduan buli. Sebelum pelaksanaan MyHELP 1 Oktober 2022, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dilaporkan menerima lebih 120 aduan berkaitan tekanan kerja dan buli dalam kalangan pegawai perubatan sejak 2017 dengan 80 peratus daripada aduan melibatkan pegawai latihan siswazah (houseman), manakala bakinya doktor biasa dan pakar.

Dzulkefly memberi jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat dan menegaskan semua aduan mesti disiasat berlandaskan keadilan, ketelusan dan kerahsiaan.

Garis panduan ini dibangunkan hasil keputusan Mesyuarat Khas Ketua Pengarah Kesihatan pada Mei 2024.

Ia menjelaskan buli boleh berlaku dalam bentuk intimidasi, pengasingan sosial atau penyalahgunaan kuasa oleh rakan sekerja ataupun dari pihak atasan.

Persekitaran kerja toksik dan interaksi tegang dengan pesakit serta keluarga turut berpotensi menyumbang insiden buli yang memberi kesan langsung kepada psikologi mangsa, kurangkan produktiviti, tingkat ketidakhadiran dan menjejaskan mutu perkhidmatan.

Buli memberi implikasi kepada kualiti rawatan pesakit. Doktor, jururawat atau paramedik tertekan tidak mampu berikan khidmat terbaik.

Kes buli dalam kalangan anggota kesihatan seperti pegawai perubatan, jururawat dan paramedik boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan dan akhirnya memberi kesan kepada kesejah­teraan pesakit.

Berdasarkan kajian Pasukan Petugas Khas Budaya Kerja (HWCITF) 2022, unsur buli boleh berlaku sekali atau berulang kali dalam bentuk fizikal, lisan, psikologi dan siber.

Antaranya menolak atau menampar, mengejek dan menghina, memberi beban tugas ber­lebihan, merosakkan reputasi, mengasingkan rakan sekerja, sehinggalah menyebarkan khabar angin dan maklumat palsu melalui media sosial.

Buli fizikal iaitu melibatkan tindakan yang menyebabkan kecederaan fizikal seperti menolak, memukul, menendang atau menampar, manakala buli lisan pula menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati, mengancam, mengejek, memalukan, mengaibkan atau menghina.

“Buli psikologi melibatkan tingkah laku yang bertujuan untuk menakut-nakutkan, merendahkan pilihan atau latar belakang individu, memberi beban tugas yang banyak de­ngan sengaja, merosakkan reputasi, menggugat kedudukan, maruah dan status individu.

“Ini termasuk mengganggu kestabilan emosi seseorang seperti pengasingan, gosip atau menyebarkan khabar angin,” memetik garis panduan berke­naan.

Sementara itu aduan buli boleh disalurkan menerusi sistem MyHELP melalui laman sesawang https://myhelp.spab.gov.my dan aduan dikendalikan oleh Unit Integriti KKM dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan Sistem MyHELP KKM.

Aduan buli akan diteliti dan disaring oleh Jawatankuasa Adu­an dan hanya aduan buli yang mengandungi maklumat lengkap akan diproses.

Jawatankuasa Aduan membincangkan dan menilai aduan yang dikemukakan dan sete­rusnya mengarahkan tindakan lanjut bagi aduan tersebut.

Laporan siasatan akan dikemukakan kepada Pengurusan Tertinggi untuk penentuan lang­kah penyelesaian, manakala langkah pemantauan dilaksanakan secara berkala mengikut kesesuaian komplesiti kes. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN