KUALA LUMPUR: “Saya anggap ini berita gembira untuk saya.”
Demikian reaksi penyanyi Hazama, 40, apabila album Pujangga tercalon menerusi beberapa kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Katanya, pencapaian tersebut adalah bayaran semula selepas mengorbankan wang simpanan untuk membiayai pembikinan album keduanya itu.
“Sebenarnya, selain peruntukkan Skim Dana Padanan MyCreative, saya juga telah korbankan duit yang saya kumpul untuk rawatan persenyawaan invitro (IVF) isteri saya semata-mata untuk hasilkan album ini.
“Pujuk saya kepada isteri, tidak mengapa kalau tak dapat buat IVF sebab bukan selalu dapat hasilkan album. Jadi kami anggap album ini ibarat bayi kami.
“Dan disebabkan itu juga saya merasakan berbaloi dan bersyukur apabila album ini tercalon menerusi beberapa kategori di AIM. Ibaratnya pengorbanan saya dan isteri, terbalas,” katanya.
Hazama berkata demikian sempena majlis pengumuman lima pencalonan AIM24 semalam.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Relakan Jiwa dan Penglipur Lara itu tercalon menerusi empat kategori antaranya Vokal Lelaki Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
Kata Hazama, pencalonan dalam anugerah berprestij itu tahun ini menjadi lebih manis apabila usaha dia dan rakan sepasukannya diiktiraf.
“Tidak dapat saya gambarkan betapa seronok apabila album Pujangga ini, yang merupakan sepenuhnya hasil kerja yang datang dari jiwa saya mendapat tempat dalam AIM24.
“Album pertama, Penglipur Lara tercalon dalam AIM sebelum ini, cuma saya, ketika itu hanya menyumbangkan suara sahaja.
“Kali ini juga membuktikan kerja keras saya dan pasukan saya dipandang orang industri,” kongsinya.
AIM kali ini mempertandingkan 30 kategori termasuk kategori utama, Album Terbaik.
Anugerah berprestij itu bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highland, Pahang pada 13 September ini dan akan ditayangkan secara langsung menerusi TV2 serta RTM Klik- UTUSAN