TOKYO: Jepun hari ini mengadakan upacara memperingati ulang tahun ke-80 penyerahannya dalam Perang Dunia Kedua, dengan kehadiran sekurang-kurangnya seorang menteri Kabinet di Kuil Yasukuni, lokasi bersejarah yang sering mencetus kontroversi diplomatik di Asia Timur.
Media tempatan melaporkan, Menteri Pertanian, Shinchiro Koizumi yang pernah bertanding dalam pemilihan kepimpinan Parti Demokratik Liberal (LDP) tiba di kuil itu pada pagi Jumaat, bersama ribuan pengunjung lain.
Kuil Yasukuni menjadi tempat penghormatan kepada kira-kira 2.5 juta korban perang Jepun, termasuk 14 pemimpin perang Kelas A yang disabitkan atas jenayah perang serius oleh tribunal Sekutu selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945. Turut disenaraikan ialah lebih 1,000 individu lain yang terlibat dalam pelbagai jenayah perang.
Namun, kuil ini kekal kontroversial, terutama dalam kalangan negara jiran seperti China dan Korea Selatan, yang melihatnya sebagai simbol ketenteraan Jepun lampau dan penghinaan terhadap penderitaan semasa penjajahan dan pendudukan tentera Jepun.
Walaupun ramai melihat kunjungan ke Yasukuni sebagai satu bentuk penghormatan kepada semua mangsa perang tanpa mengira peranan mereka, tiada Perdana Menteri Jepun yang sedang berkhidmat pernah melawat kuil itu sejak Shinzo Abe pada Disember 2013.
Perdana Menteri terakhir yang hadir ke kuil itu semasa sambutan ulang tahun penyerahan Jepun ialah Junichiro Koizumi, bapa kepada Shinchiro, pada tahun 2006.
Menurut Kyodo News, Perdana Menteri Shigeru Ishiba tidak hadir secara fizikal, namun menghantar karangan bunga sebagai simbol penghormatan.
Lawatan rasmi Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, ke Jepun dijadual berlangsung pada 23–24 Ogos ini, dengan perbincangan dijangka menyentuh isu keselamatan serantau dan kerjasama tiga hala bersama Amerika Syarikat.
Walaupun hubungan Tokyo–Seoul kerap diuji oleh isu sejarah dan tuntutan warisan penjajahan, kedua-dua negara semakin menunjukkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran geopolitik, khususnya berkaitan pengaruh China yang semakin meningkat dan ancaman nuklear Korea Utara.
Turut dilaporkan hadir ke Kuil Yasukuni hari ini ialah bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Takayuki Kobayashi, yang juga merupakan bekas calon kepimpinan LDP.









