BANGKOK: Anak sulung Raja Thailand, yang sudah lama tenat dan dirawat di hospital selama lebih dua tahun, kini mengalami jangkitan darah yang serius, menurut kenyataan istana pada Jumaat.
Puteri Bajrakitiyabha Mahidol tidak sedarkan diri di hospital sejak Disember 2022 selepas mengalami masalah jantung ketika menyertai sesi latihan anjing tentera di Nakhon Ratchasima, utara ibu negara Bangkok.
Biro Rumah Tangga Diraja mengeluarkan kenyataan rasmi pertama mengenai keadaan puteri itu dalam tempoh lebih dua tahun.
“Doktor melaporkan paru-paru dan buah pinggang puteri berfungsi dengan bantuan alat perubatan dan ubat-ubatan.
“Bermula 9 Ogos 2025, pasukan perubatan mengesan jangkitan serius dalam aliran darah, menyebabkan mereka memberikan antibiotik serta ubat untuk merangsang tekanan darah bagi mengekalkan tahap kestabilan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, doktor akan terus memantau dan memberi rawatan susulan terhadap keadaannya.
Dikenali di Thailand sebagai “Puteri Bha”, puteri berusia 46 tahun ini ialah anak sulung kepada Raja Maha Vajiralongkorn dan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama baginda.
Berpendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand, Bajrakitiyabha pernah memegang beberapa jawatan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan giat memperjuangkan hak wanita banduan.
Beliau rapat dengan bapanya dan pernah dilantik ke jawatan kanan dalam komando pengawal peribadi raja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.
Raja berusia 73 tahun itu mempunyai tujuh orang anak daripada empat perkahwinan, namun belum mengumumkan pengganti rasmi, walaupun peraturan pewarisan kini lebih memihak kepada lelaki.










