‘Bendera bukan sekadar kain tetapi simbol kebanggaan’

‘Bendera bukan sekadar kain tetapi simbol kebanggaan’

G. MANIMARAN Govindan (kiri) dan Srirangam Nadeson memasang Jalur Gemilang di hadapan rumah mereka sempena menyambut Bulan Kemerdekaan di Taman Perumahan KP Perdana, Kubang Parit, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri, G. Manimaran, 65, dan N. Srirangam, 61, membuktikan semangat toleransi dan hormat-menghormati mampu menjadi resipi keharmonian apabila mereka hidup aman bersama jiran berbilang kaum sejak lebih empat dekad lalu di Taman Perumahan KP Perdana, Kubang Parit, di sini.

Walaupun berbangsa India dan tinggal di kawasan yang majoritinya Melayu serta Cina, pasangan itu tidak pernah berasa terpinggir malah hubungan kejiranan yang terjalin semakin akrab sehingga dianggap seperti keluarga sendiri.

Manimaran yang juga pesara polis berkata, pengalaman lebih 40 tahun mendiami kawasan tersebut memberinya keyakinan bahawa perpaduan antara kaum masih kukuh jika setiap orang sanggup menjaga sensitiviti dan menghormati antara satu sama lain.

“Kalau ada kenduri, jiran saya yang Melayu hantar lauk dan apabila tiba Tahun Baru Cina, jiran Cina kongsi kuih-muih. Kalau kami sambut Deepavali, mereka pula ziarah rumah. Bagi saya inilah erti sebenar merdeka, apabila kita boleh duduk bersama tanpa rasa perbezaan itu satu halangan,” katanya semalam.

Sementara itu, Srirangam yang merupakan suri rumah berkata, kehidupan di kawasan perumahan berbilang kaum banyak mengajar mereka seke­luarga tentang nilai toleransi dan tolong-menolong.

“Kemerdekaan bukan hanya untuk diingati setiap 31 Ogos tetapi bagaimana kita jalani kehidupan seharian dengan penuh hormat tanpa prejudis. Jiran susah, kita bantu. Ada majlis, semua datang bergotong-royong. Itu yang buat kami rasa hidup di sini seperti sebuah keluarga besar,” katanya.

Menurutnya, salah satu kebiasaan setiap kali bulan Ogos ialah mereka sekeluarga memasang Jalur Gemilang di hadapan rumah sebagai tanda kecintaan kepada negara.

“Walaupun usia sudah lanjut, kami tetap mahu semarakkan suasana merdeka. Bendera itu bukan sekadar kain tetapi simbol kebanggaan sebagai rakyat Malaysia yang hidup aman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN