Belanjawan 2026 : Kementerian Perpaduan mohon peruntukan RM250 juta

Belanjawan 2026: Kementerian Perpaduan mohon peruntukan RM250 juta

AARON Ago Dagang ketika berucap merasmikan Sesi Dialog Belanjawan 2026 di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan memohon peruntukan berjumlah RM250 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi agenda pembinaan negara bangsa yang inklusif dan harmoni.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihak kementerian telah mengemukakan lima cadangan inisiatif selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, untuk dipertimbangkan Perdana Menteri.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, peruntukan RM100 juta diperlukan bagi pelaksanaan program perpaduan, sukarelawan dan kenegaraan berfokus kepada agenda pembinaan negara bangsa.

“Pengukuhan kawasan rukun tetangga (KRT), pemerkasaan mediator komuniti serta Inisiatif Harmoni Madani pula memerlukan perbelanjaan RM100 juta.

“RM10 juta bagi pemerolehan bahan sejarah serta khazanah warisan negara, RM20 juta untuk transformasi pendigitalan merangkumi muzium, arkib dan perpustakaan.

“RM20 juta pula bagi penambahbaikan fasiliti dan kemudahan di premis perpaduan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Dialog Belanjawan 2026 di sini, hari ini.

Aaron Ago turut mencadangkan penyediaan insentif pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat yang menyumbang secara langsung kepada program perpaduan di peringkat komuniti.

Beliau berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, beliau memohon peruntukan Geran Aktiviti Tahunan KRT ditingkatkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun.

“Peningkatan ini membolehkan KRT melaksanakan lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dan inklusif di peringkat akar umbi,” katanya.

Sesi dialog itu diadakan bagi memastikan penyediaan dokumen Belanjawan 2026 bersifat terangkum, menyeluruh dan mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat.

Ia juga bertujuan mengukuhkan hubungan strategik dan kerjasama antara kementerian dengan pihak berkepentingan melalui perkongsian maklumat dan aspirasi bersama.

Sesi tersebut melibatkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, KRT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan orang awam bagi membincangkan keperluan, cadangan serta keutamaan berkaitan Belanjawan 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN