SEORANG sarjana daripada etnik Cina bukan sahaja secara sangat lantang, juga dengan sinis sekali, menyatakan bahawa Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tidak berkesan dalam melaksanakan tugasnya. Malah ia sama sekali gagal dari sudut tertentu yang dibangkitkannya.
Dalam kelantangan itu, sarjana Cina itu menyenaraikan sebilangan kejadian hubungan etnik Melayu-Cina, yang padanya tidak pun ditangani dengan baik oleh KPN. Lebih tepat lagi tidak seperti pada kehendaknya, iaitu adil dan tidak berat sebelah.
Kejadian itu berkaitan dengan tindak balas etnik Melayu dalam pelbagai bentuk setelah dicetuskan oleh etnik Cina. Ia didakwanya sebagai KPN mempertahan etnik Melayu sahaja dan tidak pun melindungi etnik Cina.
Senarai itu bermula dengan pemulauan terhadap pasar raya Cina yang didapati menjual sarung kaki yang tertera kalimah Allah. Ia diikuti oleh serangan bom petrol ke atas kediaman seorang pemimpin Cina, yang sebelumnya telah mencadangkan keperluan penglibatan etnik bukan Melayu-Islam dalam jawatankuasa syariah.
Seterusnya ialah bantahan kepada seorang pemimpin Cina yang menganjurkan upacara khusus tertentu sempena perayaan agama Kristian di premis kerajaan. Ia diakhiri dengan kecaman mengenai pemalsuan logo halal oleh pembekal Cina pada sandwic yang dijual.
Sehubungan kejadian yang disenaraikan itu, sarjana berkenaan bukan sahaja meluahkan rasa tidak puas hatinya. Juga kejengkelannya terhadap tindakan KPN yang didakwanya sebagai lembab.
Dalam hal ini, tindakan KPN didapatinya sebagai sangat tidak memuaskan. Ia bukan sahaja tidak mencukupi tetapi lewat dilakukan. Juga ia didapati langsung tidak membantu etnik Cina, atau lebih tepat lagi tidak memihak kepada etnik Cina dalam usaha penyelesaian konflik hubungan etnik Melayu-Cina itu.
Dengan kata lain, tindakan KPN mahu dilihatnya agar cepat sekali dan juga memihak kepada etnik Cina. Namun, ia didapatinya langsung tidak sebegitu.
Justeru, KPN dianggapnya sebagai tidak berkesan. Oleh itu KPN tidak relevan lagi. Dalam hal keberkesanan KPN ini, ia mahu dinilainya dengan senario hubungan etnik Melayu-Cina yang semakin baik dan bukan yang sebaliknya, iaitu semakin merosot. Dengan kata lain, ia diidamkannya dalam bentuk urutan kejadian positif yang bukan sahaja mempamerkan, juga yang memperlihat hubungan etnik Melayu-Cina yang baik.
Malangnya yang benar-benar terjadi ialah ia semakin merosot. Sebenarnya kemerosotan ini adalah kecuaian, dan juga angkara etnik Cina sendiri yang gagal dikaji oleh sarjana itu. Sehubungan ini, ia ibarat takwil peribahasa Melayu, kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak.
Dengan ini, kesalahan pihak lain walaupun kecil dapat dikesan dengan cepat sekali, tetapi kesalahan diri sendiri yang jauh lebih besar tidak dapat disedari langsung. Inilah sebenar-benarnya yang berlaku dalam hubungan etnik Melayu-Cina. Ia memang berpunca daripada etnik Cina yang gagal disedari mereka, termasuklah sarjananya itu.
Ini dapat dilihat dengan jelas sekali pada kesemua kejadian yang disenaraikan itu. Ia yang berlaku itu didapati dilakukan, sama ada secara tidak sengaja kerana kejahilan. Atau memang mahu dibuat sebegitu untuk meninjau penerimaan sesuatu itu pada kali pertamanya, sebelum betul-betul melakukannya kemudian nanti.
Apa-apa jua, etnik Cina tidak pernah mahu mengakui kesalahan mereka walaupun sudah terbongkar punca kejadian, sama ada kerana kejahilan atau atas penuh kesedaran. Dalam hal ini, pelbagai helah diutarakan yang kesemuanya memperlihat buruk laku etnik Cina sendiri.
Sindiran sinis sarjana itu adalah dalam bentuk KPN yang berjaya. Ia dianggap sarjana itu sebagai berjaya apabila KPN dinilai dari segi ia hanya mesra dan memihak kepada satu etnik dan satu agama sahaja. Walaupun tidak dinyatakan dengan jitu, ia dengan mudah lagi cepat difahami banyak pihak, malah semua sekali, sebagai merujuk kepada hanya etnik Melayu dan agama Islam sahaja.
Bukan sahaja sindiran itu sangat tidak tepat, juga ia biadap sekali. Ini kerana dalam mengurus hal perpaduan negara, iaitu hubungan etnik baik, dan menyusun ehwal integrasi nasional, yakni perikatan wilayah utuh, KPN juga ditugaskan untuk ikut menyantuni pelbagai agama bukan Islam. Antaranya untuk tujuan persefahaman sesamanya, selain dengan Islam.
Sindiran itu sebenarnya menunjukkan betapa jahilnya sarjana tersebut tentang sejarah negara ini yang dahulu sehingga kini adalah buni Melayu-Islam.
Walaupun begitu, ia tetap terus mengakomodasi etnik bukan asal, bukan hanya sekadar seadanya pada sepanjang masa. Malah lebih daripada segala apa yang ada pada setiap masa.
Sebagai bumi Melayu-Islam, amat wajar sekali untuk unsur tradisional yang merangkumi institusi lama, antaranya kedaulatan watan Melayu-Islam, terus dipertahan walaupun pada zaman moden ini. Dengan ini, kewatanan Melayu-Islam wajib terus wujud selaku tunjang utama kepada segala-gala yang lain di negara ini.
Dengan kata lain, konservatisme, tradisionalisme dan nativisme Melayu-Islam tidak boleh sesekali disetarakan dengan liberalisme, modenisme dan imigresen, apatah lagi dengan sekularisme. Dengan ini, kesetaraan tidak boleh sesekali dibenarkan wujud dalam apa-apa jua bentuk. Begitu juga dengan penggantian semua ciri Melayu-Islam itu.
Nampaknya perkara sebaliknya yang sedang berlaku, iaitu nativisme Melayu-Islam mahu diseratakan, dan jika boleh digantikan oleh imigresen. Sehubungan ini, imigresen merujuk kepada pengaruh kuasa pihak bukan natif yang mendatangi bumi Melayu-Islam ini dari tempat lain.
Walaupun sudah merupakan warganegara, unsur imigresen ini masih ketara, malah dengan kuat sekali pada pihak bukan natif, khususnya etnik Cina. Ini antaranya disebabkan nasionalisme etnik Cina yang lebih diutamakan ketimbang nasionalisme Malaysia.
Ekoran kelantangan dan sindiran sarjana itu, KPN dicadangkannya agar ditutup sahaja. Dalam pada itu, peruntukan KPN diagih-agihkan kepada pelbagai badan keagamaan bukan Islam dan yang seumpamanya.
Sudah tentu segala apa yang dinyatakan sarjana itu tidak benar sama sekali. Ia telah disanggah dengan tegasnya oleh Yang Berhormat Menteri KPN. Ia juga sepatutnya diikuti sanggahan keras oleh Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPK) sebagai lantikan rasmi KPN, yang sehingga saat ini masih membisu seribu bahasa.
Dengan hanya menteri yang kuat dicemuh oleh sarjana itu mempertahan KPN dan tidak oleh yang lain-lain dalam kerajaan, ia semacam mengiyakan dakwaan sarjana itu sebagai benar pun. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










