MELAKA: Seorang bekas pengurus pentadbiran anak syarikat milik kerajaan negeri direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, selepas disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan pembelian insurans kebakaran, empat tahun lalu.
Perintah reman sehingga 8 Ogos ini dikeluarkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin terhadap suspek lelaki berusia 44 tahun.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan pada pukul 2.15 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Suspek dipercayai telah mengesyorkan pelantikan isterinya bagi pembelian insurans kebakaran untuk anak syarikat tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










