Bekas pembantu peribadi didakwa pindah milik kenderaan milik syarikat secara tidak sah

Bekas pembantu peribadi didakwa pindah milik kenderaan milik syarikat secara tidak sah

MOHAMMAD Zalawis Ariffin (kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu peribadi didakwa menyebabkan seorang pengurus syarikat produksi memindah milik sebuah kenderaan Hummer H3 milik syarikat tersebut secara salah kepada dirinya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Zalawis Ariffin, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak jujur telah menyebabkan Arizuan Mat Arif, 48, melupuskan sebuah kenderaan jenis Hummer H3 kepada dirinya pada pukul 10 pagi, 18 Disember 2020 di sebuah restoran di Batu Caves, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan sama namun telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).

“Sehubungan itu, saya memohon satu tarikh bagi mendapatkan arahan lanjut sama ada pendakwaan akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya yang turut mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela, Mohd. Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohammad Zalawis merayu agar jumlah ikat jamin direndahkan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan hadir ke mahkamah tanpa gagal.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 8 Oktober ini untuk pengurusan kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN