Beego gagal hadir, Linda Hashim sedia tempuh proses hakam

Beego gagal hadir, Linda Hashim sedia tempuh proses hakam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Konflik rumah tangga pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim, masih belum menemui jalan penyelesaian apabila kes perceraian mereka itu dijangka dibawa ke proses hakam.

Ini kerana, aktor dengan nama sebenar, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah terbabit tidak hadir bagi mendengar keputusan daripada laporan Majlis Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung pada hari ini.

Menurut peguam yang mewakili Beego, Muhamad Akmal Amzan, anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami masalah kesihatan.

“Beego hubungi saya pagi tadi beritahu dia tak dapat hari ini kerana tidak sihat dan kedengaran suara dia serak-serak basah.

“Mungkin kerana batuk dan selsema,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada kes ini akan berlarutan, kata Akmal, anak guamnya menaruh harapan agar kes ini diselesaikan dengan cara baik.

“Kalau dapat selesai cara damai kita cuba. Kalau tidak kita cuba cara persetujuan bersama. Kalau ikutkan Beego belum bersedia untuk bercerai,”katanya.

Sementara itu, isteri Beego, Norhazlinda Hashim, mengharapkan agar proses di mahkamah pada hari ini dapat diselesaikan secara baik.

Pada masa yang sama, Linda berkata, sebolehnya dia enggan kes ini dibawa ke hakam.

“Bagaimanapun, jika perlu sampai ke hakam, kita akan akur sahaja dan lakukan proses ini sehinggalah selesai,”katanya.

Pada 23 April lalu, Linda dan Beego selesai melakukan proses JKP berhubung kes perceraian mereka.

Mahkamah kemudiannya mahkamah menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan JKP sebelum ditunda ke hari ini.

Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.

Linda pernah mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.

Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×