JOHOR BAHRU: Bayi lelaki yang dilahirkan dengan bantuan orang awam di tepi jalan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini Ahad lalu, dalam keadaan selamat.
Ibunya yang enggan dikenali memberitahu, bayi lelaki tersebut dilahirkan dengan berat 2.63 kilogram dan kini masih ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Berat bayi saya adalah 2.63 kilogram dan masih di HSI. Doktor sedang merawatnya termasuk memberi antibiotik bagi mengelak jangkitan kuman.
“Kami juga belum memberikan nama kepadanya,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah wanita yang berasal dari Sabah itu, dia telah berhijrah ke negeri ini sejak setahun lalu.
Sementara itu, salah seorang wanita yang membantu proses kelahiran bayi lelaki tersebut, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, memberitahu dia sedia menjadi ibu angkat kepada bayi berkenaan.
“Jika ditawarkan saya sedia jadi ibu angkat bayi itu. Ini kenangan manis dan perkara yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan seorang wanita selamat melahirkan seorang bayi lelaki di tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang sambil dibantu beberapa orang awam.
Video kejadian tersebut tular di pelbagai platform media sosial selain turut menerima respon positif masyarakat yang memuji sikap tolong menolong antara rakyat negara ini.










